Home Tazkirah Kisah Seorang Pemuda Dengan Kayu Api
Kisah Seorang Pemuda Dengan Kayu Api PDF Print E-mail


Anas bin Malik r.a pernah meriwayatkan suatu kisah yang agak panjang di antara seorang pemuda Ansar bersama Rasulullah S.A.W. Pemuda berkenaan telah mendatangi Rasulullah dengan tujuan mahu meminta sedikit makanan. Namun Nabi Muhammad S.A.W tidak terus memberikannya makanan, melainkan ditanya terlebih dahulu apakah masih ada sesuatu di rumahnya, yang mungkin boleh dijual. Lantas pemuda Ansar itu menyatakan: “Ya! ada, (iaitu) pakaian yang kasar, yang setengahnya kami pakai dan setengahnya lagi kami hamparkan, juga sebuah bekas yang kami gunakan untuk meminum air dengannya.” Nabi Muhammad S.A.W seterusnya meminta agar pemuda itu pulang dan membawakan kedua-dua barangan itu.

 

 

Pemuda itu pun pulang dan kemudian datang kembali. Kemudian, Rasulullah S.A.W segera mengambil barang-barang itu daripada tangannya dan menawarkannya kepada sesiapa yang ada bersama mereka, seandainya mereka mahu membelinya. Lalu, seorang lelaki yang berada di situ membeli kedua-dua barangan itu dengan harga dua dirham. Daripada dua dirham itu pula, nabi telah menyerahkan satu dirham kepada si pemuda untuk kegunaan keluarganya, manakala satu dirham lagi telah diminta oleh Nabi Muhammad S.A.W agar pemuda itu membeli sebilah kapak. Rasulullah S.A.W berpesan: “Beli makanan satu dirham dan segera kembali ke rumahmu dan berikannya kepada isterimu. Dan gunakan satu dirham lagi untuk membeli kapak, dan bawakannya ke mari.”

Tidak berapa lama, orang Ansar itu kembali bertemu Nabi Muhammad S.A.W bersama sebilah kapak. Kemudian Baginda S.A.W segera memasang kayu pada kapak itu (sebagai hulu) lantas menyatakan: “Ambil kapak ini, dan pergilah kamu mencari kayu, kemudian kamu jual kayu itu dan kamu datanglah lagi menemuiku selepas lima belas hari. ”Pemuda Ansar itu benar-benar mematuhi arahan Nabi Muhammad S.A.W. Diberitakan, selepas lima belas hari berlalu, dia telah datang menemui Rasulullah S.A.W dan pada kali ini di tangannya tergenggam sepuluh dirham hasil jualan kayunya. Dengan wang itulah, sebahagiannya dia gunakan untuk membeli pakaian dan sebahagiannya lagi untuk makanan keluarganya. Lalu sabda Nabi S.A.W : “Cara begini adalah lebih utama bagi kamu daripada meminta-minta, sebab meminta-minta itu akan meninggalkan tanda di muka kamu di akhirat nanti.”

Inilah caranya Nabi S.A.W menangani kemiskinan umatnya. Indah dan penuh pengajaran. Psikologi si miskin dilentur, fizikal mereka dibentur, bahawa kemiskinan hakikatnya adalah sesuatu yang boleh diubah dengan ikhtiar yang betul. Nabi S.A.W sudah pun menunjukkan caranya maka terpulanglah kepada pihak yang berkenaan, khususnya kepada institusi-institusi zakat yang terlibat dalam usaha menangani kemiskinan untuk mencontohinya. Wallahua’lam.

 

 

99 Names Of Allah



Solat Time Table

Tazkirah


Download


Visitor

We have 6 guests online