Majlis Perasmian Pentauliahan Amil Zakat Fitrah Negeri Melaka 1447H/2026M telah berlangsung dengan jayanya pada 12 Februari 2026 bertempat di Auditorium Al-Azim, Melaka.
Majlis penuh bermakna ini telah disempurnakan melalui Ucapan Perasmian oleh YB Datuk Rahmad bin Mariman, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka dan Zakat Melaka, hadir mewakili YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka.
Majlis turut menyaksikan simbolik penyerahan Kupon Zakat Fitrah Tahun 1447H/2026M sebagai manifestasi komitmen berterusan dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan pengurusan Zakat Fitrah di Negeri Melaka. Pada masa yang sama, majlis ini turut memberikan pengiktirafan rasmi kepada para Amil yang telah dilantik bagi memikul amanah menguruskan kutipan Zakat Fitrah di seluruh negeri.
Semoga pentauliahan ini menjadi pemangkin kepada pengurusan zakat yang lebih tersusun, telus dan berintegriti, seterusnya memperkukuh sistem pentadbiran zakat demi kesejahteraan dan kemaslahatan ummah.