Taklimat Profesionalisme dan Pengurusan telah berjaya dianjurkan bersama Zakat Melaka dan Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPN Melaka). Taklimat ini telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Pusat Zakat Melaka, Bukit Baru, dengan kehadiran para pegawai dan warga pendidik dari JPN Melaka.
Taklimat ini bertujuan untuk memperkukuh kefahaman dalam aspek pengurusan dan profesionalisme, khususnya yang melibatkan kerjasama antara institusi pendidikan dan institusi zakat. Ia turut menjadi medan perbincangan strategik berkaitan peranan zakat dalam pembangunan masyarakat melalui pendidikan.
Antara pengisian penting dalam sesi ini ialah pelaksanaan potongan gaji zakat bagi warga JPN Melaka. Inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam menunaikan kewajipan zakat secara konsisten, mudah dan berstruktur — sejajar dengan usaha memperkasakan budaya berzakat dalam kalangan penjawat awam.
Zakat Melaka merakamkan penghargaan kepada JPN Melaka atas kepercayaan dan kerjasama erat yang terjalin. Semoga sinergi ini dapat diteruskan dalam pelbagai bentuk program dan inisiatif pada masa akan datang demi manfaat ummah dan kemajuan negeri Melaka secara keseluruhannya.