Mesyuarat & Bengkel Draf Penggubalan Peraturan-Peraturan Zakat dan Fitrah Tahun 2025 MELAKA

Pada 26 dan 27 Mei 2025 (Isnin dan Selasa), Zakat Melaka telah menganjurkan Mesyuarat dan Bengkel Draf Penggubalan Peraturan-Peraturan Zakat dan Fitrah Tahun 2025 bertempat di Zakat Melaka. Bengkel ini telah dipengerusikan oleh YB Tuan Khairul Azreem Bin Mamat dan melibatkan penglibatan pelbagai agensi berkepentingan dalam bidang perundangan serta pengurusan zakat negeri.

Bengkel ini bertujuan untuk memperkemas serta menyemak semula peraturan-peraturan berkaitan zakat dan fitrah agar selari dengan keperluan semasa. Selain itu, ia juga berfungsi sebagai platform memperkukuh sistem pentadbiran dan pengurusan zakat di negeri Melaka agar lebih cekap, telus dan berintegriti.

Turut hadir dalam bengkel ini adalah wakil-wakil dari Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Melaka, Jabatan Mufti Negeri Melaka, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Melaka, Mahkamah Syariah Negeri Melaka serta Imam 1 Masjid Cina Negeri Melaka. Penglibatan pelbagai pihak ini mencerminkan usaha kolaboratif dan komitmen bersama ke arah memperkukuh dasar dan peraturan zakat di peringkat negeri.

Zakat Melaka merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas komitmen dan sumbangan idea dalam menjayakan bengkel ini. Semoga segala usaha ini menjadi asas kukuh dalam memartabatkan pengurusan zakat negeri Melaka demi kemaslahatan ummah.